Sheikh Muhammad Arsyad
Al-Banjari
(17/3/1710 – 13/10/1812)
Syeikh Muhammad
Arsyad al‑Banjari dilahirkan pada 15 Safar 1122 Hijrah bersarnaan 17 Mac 1710
Masihi di Kampung Lok Gabang, Martapura, Banjarmasin. Bapanya Abdullah
merupakan seorang pemuda yang dikasihi sultan (Sultan Hamidullah atau
Tahmidullah bin Sultan Tahlilullah 1700‑1734M). Bapanya bukan asal orang Banjar,
tetapi datang dari India, mengembara untuk menyebarkan dakwah. Beliau seorang
ahli seni ukiran kayu.
Semasa ibunya
hamil, kedua ibu bapanya sering berdoa agar dapat melahirkan anak yang alim dan
zuhud. Setelah lahir, ibu bapanya mendidik dengan penuh kasih sayang setelah
mendapat anak sulung yang dinanti‑nantikan ini. Beliau dididik dengan dendangan
Asmaul‑husna, di samping berdoa kepada Allah. Setelah itu diberi pendidikan Al‑Quran
kepadanya. Kemudian barulah menyusul kelahiran adik-adiknya iaitu 'Abidin,
Zainal Abidin, Nurmein, dan Nurul Amien.
Syeikh Muhammad
Arsyad Al-Banjari Semasa Kecil
Sejak kecil, Syeikh Muhammad
Arsyad al‑Banjari kelihatan cergas dan cerdas serta mempunyai akhlak yang baik
dan terpuji. Kehebatan beliau sejak kecil ialah dalam bidang seni lukis dan
seni tulis, sehingga sesiapa sahaja yang melihat karyanya akan berasa kagum dan
terpukau.
Pada suatu
hari, sultan mengadakan kunjungan ke kampung‑kampung. Apabila baginda sultan sampai
ke kampung Lok Gabang, baginda berkesempatan melihat hasil karya lukisan
Muhammad Arsyad yang indah lagi memukau hati itu. Justeru, sultan berhajat
untuk memelihara dan mendidik Muhammad Arsyad yang tatkala itu baru berusia 7
tahun.
Syeikh Muhammad
Arsyad al‑Banjari mendapat pendidikan penuh di istana sehingga usianya mencapai
30 tahun. Kemudian, beliau dikahwinkan dengan seorang perempuan yang solehah
bernama Tuan Bajut. Hasil perkahwinan, beliau memperoleh seorang puteri yang
diberi nama Syarifah.
Syeikh Muhammad
Arsyad telah meneruskan pengembaraan ilmunya di Makkah dan Madinah. Segala
perbelanjaannya ditanggung oleh Sultan Tamjidillah (1745‑1778M) dan pengganti
baginda Sultan Tahmidillah (1778‑1808M). Selama belajar di Makkah, Syeikh
Muhammad Arsyad tinggal di sebuah rumah yang dibeli oleh Sultan Banjar yang
terletak di kampung Samiyyah iaitu dikenali sebagai Barhat Banjar.
Syeikh Muhammad Arsyad AI‑Banjari Semasa Di
Makkah Dan Madinah
Semasa di
Makkah, Syeikh Muhammad Arsyad belajar dengan tekun di Masjidil Haram dalam
pelbagai bidang ilmu. Beliau berguru dengan ulama'‑ulama' terkenal pada masa
itu seperti Syeikh Ataillah Bin Ahmad al‑Misriy, Syeikh Muhammad Bin Sulaiman
al‑Kurdiy, Syeikh Muhammad Bin Abd Karim al‑Qadiri, Syeikh Ahmad Bin Abd Mun'im
al‑Damanhuri, Syeikh Hasan Bin Ahmad 'Akisy al‑Yamani, Sheikh Salim Bin
Abdullah alBasri, dan banyak lagi.
Sahabat‑sahabat
Syeikh Muhammad Arsyad merupakan golongan pencinta kepada ilmu pengetahuan
sehingga setiap perternuan yang merupakan majlis ilmu, mereka saling bermuzakarah
bersama‑sama. Antara sahabat beliau ialah: Syeikh Abdul Samad al‑Falimbani,
Syeikh Abdul Rahman Mesri, Syeikh Daud bin Abdullah al‑Fatani, Syeikh Abdul
Wahab Sadengreng (Bugis), dan Syeikh Muhammad Salih bin Umar al‑Samarani atau
'Semarang'.
Untuk menambah
ilmu, Syeikh Muhammad Arsyad bersama sahabatnya ingin merantau pula ke Mesir.
Namun, setelah bersiap untuk berangkat, mereka mendapat khabar bahawa ulama'
besar Mesir iaitu Syeikh Muhammad Bin Sulaiman al-Kurdie datang ke Madinah.
Lantas beliau bersama sahabat pergi ke Madinah untuk berguru dengan syeikh
tersebut.
Pulang Ke Tanah Air
Setelah berada
selama 30 tahun di Makkah dan lima tahun di Madinah, Syeikh Muhammad Arsyad al‑Banjari
pulang ke tanah air untuk menyebarkan Islam. Setibanya beliau ke kampung
halaman, beliau membuka pusat‑pusat pengajian untuk memudahkan masyarakat Islam
menimba ilmu pengetahuan. Selain itu, Syeikh Muhammad Arsyad
turut
membiasakan diri bersama orang kampong berkebun, bersawah, dan bertani.
Di samping aktif mengajar dan mendidik
masyarakat Islam yang datang dari pelbagai pelosok daerah, beliau turut turun
berdakwah ke segenap lapisan masyarakat yang terdiri daripada rakyat biasa
hinggalah kepada golongan pembesar dan bangsawan.
Dalam menyampaikan dakwah, Syeikh
Muhammad Arsyad menggunakan pelbagai kaedah pendekatan iaitu Dakwah bil Hal (dakwah yang menggunakan
pendekatan contoh dan akhlak yang dipamerkan oleh beliau), Dakwah bil Lisan (dakwah dengan menggunakan pendekatan lidah iaitu
mengajak dan menyeru) dan Dakwah bil
Kitabah (dakwah dengan menggunakan pendekatan penulisan buku dan risalah).
Karya‑karya
Syeikh Muhammad Arsyad AI‑Banjari
Karya Syeikh
Muhammad Arsyad al‑Banjari yang paling terkenal ini merupakan kitab fiqh Melayu
yang tersebar luas di seluruh alam Melayu. Terdapat di dalam dua jilid, jilid
pertama mempunyai 252 halaman dan jilid kedua 272 halaman. Perbincangan dalam
kitab ini meliputi persoalan ibadah yang menyentuh thaharah, solat, puasa,
zakat, haji, akikah, korban, makanan yang halal dan haram serta sembelihan.
Kitab ini ditulis
atas permintaan Sultan Tahmidillah Bin Sultan Tamjidillah. Penulisannya
mengambil masa selama dua tahun iaitu dimulai pada 1193H/1779M dan selesai pada
27 Rabiul Akhir 1195H. Kitab ini pertama kali dicetak di Istanbul pada tahun
1300H/1882M kemudian diulang cetak di Kaherah dan Makkah.
Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari Meninggal Dunia
Beliau meninggal dunia pada malam Selasa
iaitu di antara waktu Maghrib dan Isyak, pada 6 Syawal 1227 Hijrah bersamaan 13
Oktober 1812 Masihi. Beliau meninggal dunia pada usia 105 tahun dengan
meninggalkan sumbangan yang besar terhadap masyarakat Islam di Nusantara.
Bagi mengenang jasa dan sumbangan beliau,
beberapa tempat di Indonesia telah mengabadikan nama dan karya beliau.
Antaranya ialah Universitas Islam
Kalimantan Muhammad Arsyad al‑Banjari dan Masjid Raya Sabilal Muhtadin.
(Sumber:
Dewan Agama, Mei 2005, ms46-47)